Surah Yasin

Fadhilat Zikir 4

30. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Allah s.w.t. berfirman: "Barang siapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang ku berikan kepada orang-orang yang berdoa."

31. Sungguhpun zikir ini merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afzal dan utama daripada seluruh ibadat kerana mengerakkan lidah itu lebih mudah daripada mengerakkan seluruh badan.

32. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam syurga. Masaalah ini akan diterangkan nanti dengan lebih jelas di dalam fasal kedua dari bab ketiga risalah ini.

33. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain. Yang mana diterangkan di dalam sebuah hadis: "Barang-siapa yang membaca kalimah yang keempat (Laila Haillallahu Wahdahu) sebanyak seratus kali pada satu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripada-nya seratus dosa. Dipelihara daripada godaan syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afzal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi."

Ada lagi banyak sekali hadis-hadis yang menyatakan bahawa zikir itu adalah amalan yang terafzal sekali. Sebahagian daripada hadis-hadis itu akan tersua nanti di dalam bahagian-bahagian berikut yang terkandung di dalam risalah ini.

34. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara istiqamah ia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat. Kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian.

Diperingatkan oleh Tuhan di dalam kitab suci Al-Quran: WALAA TAKUUNUU KALLAZINA NASULLAAHA ertinya: "Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik. (surah Al-Hasyar A. 19) Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju kearah kejayaan hakiki. Kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya ia terlalai daripada muslihat-muslihatnya, akhirnya ia menjadi mangsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak menghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa. Dan akhirnya keadaannya berubah menjadi belukar.

Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala ia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga ia cinta kepada zikir. Seperti mana seorang yang cinta kepada air ketika ia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika ia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa ia merasai panas atau dingin yang amat sangat. Bahkan zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-segala yang disebutkan itu tidak tersedia maka tubuh kasar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, roh dan hati juga akan mengalami kebinasaan.

35. Dengan zikir seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika ia beristirahat atau pun berada di pasar, ketika ia sihat atau pun sakit, ketika ia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada di dalam serba kekurangan. Pendek kata pada setiap masa dan dalam setiap keadaan ia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan ia mencapai kemajuan dengan secara terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir maka dalam setiap keadaan ia meningkat kemartabat yang setinggi-tingginya.

(DIPETIK DARIPADA TAZKIRAH JUMAAT)

No comments: