KEBERKATAN rezeki adalah
antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar
wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik,
kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki.
Namun dalam
artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama
ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji. Rezeki yang dicari
dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri.
Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya
isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya
kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan,
kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan..
Ada beberapa
sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama, kerana ia jelas
datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri,
menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak
menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita
yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau
memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi
tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain
sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.
Tanda
Rezeki Berkat
1. Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang
Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu
berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat
lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa
berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.
2. Pemurah
Kita mudah untuk memberi sedekah dan
menunaikan zakat.
3. Jauh daripada kejahatan manusia dan bala
Kalau kita datang lambat, malas, kerja
tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan
akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh
tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah
gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200
sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu.
Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan
kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik
sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang
bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon
bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah
keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab
bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.
4. Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang
5. Sentiasa merasa cukup dan syukur